Thursday, November 13, 2008

Kuduskankanlah Hari Tuhan.

Didalam Alkitab dibahagian Perjanjin Lama, Hari Tuhan adalah dikaitkan dengan Hari Sabbath yang bererti "Hari Rehat" untuk pergi ke Bait Allah atau Rumah Ibadat pada hari Enam atau Sabtu. Jadi pada hari tersebut, umat Israel atau Yahudi pergi ke rumah-rumah ibadat untuk berdoa dengan mendengar Firman Tuhan yang dipetik daripada Alkitab dan mendengar Pengajaran yang biasanya disampaikan oleh guru agama mereka. Ini adalah satu kewajiban agama yang tidak boleh diabaikan. Pada hari Sabbath juga mereka tidak boleh melakukan apa-apa perkerjaan kecuali suatu pekerjaan yang ringan dan tidak bertentangan dengan Undang-undang hari Sabbath. Ketetapan ini masih lagi mereka amalkan sampai sekarang. Walau bagaimana pun, pada hari ini dikalangan umat Kristian terdapat sedikit perbezaan.

Pada amnya kebanyakan Gereja-gereja Krisitian "Hari minggu pertama atau Hari Ahad" adalah "Hari Tuhan." Pada hari berkenaan, mereka berkumpul untuk berdoa bersama-sama sebagai satu umat Tuhan. Ini adalah sesuai dengan Tradisi umat Krisitan yang pertama sebagaimana yang dinyatakan didalam Perjanjian Baru; Tambahan pula, Tuhan Yesus telah bangkit dan menjelma pada hari berkenaan iaitu pada hari Ahad(Yoh.20:1-23). Tetapi ada juga gereja-gereja yang masih mengekalkan tradisi Perjanjian Lama, dimana mereka berkumpul pada hari Enam atau Sabtu untuk berdoa bersama-sama sambil mendengar petikan dan pengajaran yang berdasarkan kepada Alkitab.


Kenapa memilih hari Sabtu atau hari Ahad? Masing-masing Gereja atau agama ada pendirian yang tersendiri dan biasanya sebab dan alasan adalah munasabah, logik dan tidak menjadi masalah untuk diterima oleh mana-mana pihak sekiranya wujud sikap keterbukaan dan sifat yang saling menghormati pengajaran agama masing-masing tanpa prejudis, tanpa sifat yang memandang rendah dan menghakimi agama orang lain, serta tanpa sikap yang ego dan angkuh.


Apa juga "Hari Tuhan" sesuai dengan agama masing-masing, persoalannya ialah apakah kita menguduskan Hari Tuhan dengan pergi sembayang pada hari berkenaan atau tidak? Jadi, pada "Hari Tuhan" kita pergi kemana? Pergi ke Gereja atau pergi makan angin? Pergi bersukan atau bekerja? Atau mengadakan aktiviti duniawi seperti mengadakan pesta dan bergotong-royong? Atau diam-diam dirumah, malas pergi sembayang!


Sesungguhnya, Perintah Tuhan yang ketiga ini, mengajar kita supaya pergi ke Gereja atau Rumah Ibadat pada "Hari Tuhan." Inilah keutamaan pada hari Tuhan. Jadi, janganlah ponteng atau malas pergi ke sembayang pada hari Tuhan. Jadi, marilah kita menghormati dan menguduskan diri kita pada "Hari Tuhan" dengan meninggalkan hal-hal duniawi dan pergi sembayang. Kalau tak dapat pergi sembayang pada hari Ahad, pergilah pada hari Sabtu(Misa senja atau Sunset Mass). Pendek kata, jangan abaikan Hari Tuhan. Kalau didalam hal-hal lain kita ada masa, takkanlah kita tidak boleh adakan masa untuk Tuhan. Jestru itu, marilah kita Kuduskanlah hari Tuhan(Kel.20:8-9). Buatlah masa untuk Tuhan. Rajin-rajinlah pergi sembayang. Amin.