Tuesday, November 25, 2008

Oh Ibu! Oh bapa!

Perintah Tuhan yang ke-empat: "Hormatilah ibubapa mu(Keluaran 20:12)." Perintah ini mengajar kita agar mencintai ibubapa kita sendiri dengan sentiasa menghormati mereka. Kerana berkat daripada kerjasama mereka dengan Tuhan maka wujudlah kita didalam dunia ini. Ini bererti hasil pengorbanan, pemeliharaan dan kasih-sayang mereka maka kita dapat hidup didalam dunia ini. Jadi, boleh dikatakan bahawa kalau bukan kerana mereka, masakan kita ada peluang berjalan diatas bumi ini. Tetapi, hasil daripada kasih-sayang dan kerjasama mereka dengan Pencipta kehidupan maka kita ada didunia ini. Sesungguhnya, kita benar-benar bertuah kerana mempunyai ibubapa yang sanggup menjaga dan membesarkan kita sehinggalah kita dapat berdiri diatas kaki sendiri. Bayangkanlah kalau tidak ada yang orang yang rela dan sudi untuk menerima kurnia anak daripada Tuhan. Sudah pasti kita tidak ada didalam dunia ini. Tetapi, puji Tuhan dan terima kasih kepada ibubapa kita masing-masing kerana mereka kita hidup didunia ini.
Sesungguhnya, kita tidak akan dapat membalas budi dan jasa ibubapa kita yang telah menjaga dan membesarkan kita sejak dari rahim sampailah kita menjadi dewasa. Jasa mereka tidak dapat kita bayar sepenuhnya meskipun dengan berkilo-kilo emas dan berjuta-juta wang. Kerana jasa dan cinta mereka kepada kita tidak dapat dinilai dan disamakan dengan emas dan wang. Sebab itu, kita tetap terhutang budi kepada ibubapa kita sampai bila-bila masa dan sepanjang hidup kita. Walau pun begitu, marilah kita sekurang-kurangnya membalas jasa dan budi mereka dengan mencintai dan menghormati mereka sepanjang hidup kita. Ini boleh kita tunjukan dan lakukan didalam berbagai-bagai cara antaranya adalah seperti berikut: 1) Kalau kita berkerja jauh dari mereka, luangkanlah masa untuk kembali ke rumah/kampung untuk melawat mereka terutama sekali pada musim cuti, dan harijadi mereka; 2) Berilah sokongan kewangan kepada mereka. Ingatlah, mereka telah membelanjakan wang beribu-ribu demi membesarkan kita dan memberi pendidikan kepada kita; 3) Panggillah mereka dengan penuh hormat; 4) Janganlah sakiti hati mereka; 5) Jangan bersikap tidak sopan kepada mereka; 6) Kalau mereka melakukan kesilapan, tegurlah dengan baik; 7) Jangan marah-marah kepada mereka; 8) Jangan terlalu bergantung kepada mereka kalau sudah dewasa dan berkerja; 9) Jangan terlalu mengira kalau berbelanja kepada mereka; 10) Jagalah mereka dengan baik dan dengan penuh kesabaran dihari-hari tua mereka; 11) Jangan sekali-kali berlaku kasar dan jahat kepada mereka; 12) Jangan lupa berdoa untuk kebaikan mereka; dan sebagainya...
Saya fikir, banyak lagi cara dan perkara yang dapat kita lakukan bagi menunjukkan cinta dan hormat kita kepada ibubapa kita sepanjang hidup kita. Jadi, pandai-pandailah kita menunjukkan kasih-sayang kita kepada ibubapa kita masing-masing. Tetapi apa yang penting sekali ialah seseuai dengan Perintah Tuhan yang ke empat ini ialah kita diingatkan betapa besar jasa dan budi ibubpa kita kepada kita dan kita diajar supaya sentiasa mencintai dan menghormati ibubapa kita.
Mungkin banyak juga pengalaman pahit dan asam yang pernah kita alami daripada ibubapa kita seperti dirotan atau dipukul disebabkan oleh kenakalan dan kesalahan yang kita lakukan; Kecewa kerana tidak diberi wang atau diberi apa yang kita minta; Marah dan geram dengan kelemahan, kekurangan,dan kesalahan yang mereka lakukan.......TETAPI..........AMPUNKANLAH MEREKA. Saya percaya, ibubapa merotan atau memukul kita dulu bukan kerana untuk kejahatan kita tetapi untuk kebaikan kita sendiri. Mereka mahu kita menjadi manusia yang baik, berdispilin, berjaya dan berguna dimasa akan datang. Pendek kata, buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih. Janganlah kita terlalu memikirkan perkara-perkara negatif, kelemahan dan kesilapan yang pernah dilakukan oleh ibubapa kita. Tetapi, lihatlah perkara-perkara yang baik dan positif yang mereka miliki dan hal-hal yang baik dilakukan oleh mereka. Ini lebih berguna daripada terlalu memikirkan perkara-perkara "jahat dan buruk" yang boleh menyebabkan kita selaku anak mereka menjadi seperti kacang lupakan kulit atau bersikap seperti " Si Tanggang" yang lupakan jasa ibubapanya setelah berjaya didalam hidupnya.
Jadi, marilah kita sentiasa mencintai dan menghormati ibubapa kita selagi ada masa dan peluang. Nanti, esok-esok kalau mereka sudah pergi dan meninggalkan dunia ini, menangis dan menyesal pula, kerana gagal menunjukkan cinta dan hormat kepada mereka. Jestru itu, cintailah dan hormatilah ibubapa anda walaupun mereka bukanlah ibubapa yang sempurna. Kerana merekalah ibubapamu dan kerana merekalah kerjasama mereka dengan Pencipta Kehidupan, maka anda ada di dunia ini. Amin.