Sunday, June 28, 2009

Ikutilah Aku...


Yesus berkata kepada Matius, "Ikutilah Aku."(Matius 9:9). Jemputan atau ajakanNya ini memang merupakan satu cabaran bagi Matius. Tetapi sahutannya adalah serta-merta. Dia berdiri lalu mengikuti Tuhan Yesus. Bagaimana dengan kita sendiri? Apakah kita setia mengikutNya?


Inilah cabaran kita selaku pengikut Tuhan Yesus iaitu mengikutiNya dengan setia dan sabar meskipun banyak cabaran dan godaan yang dilalui didalam perjalanan kita selaku pengikutNya. Tapi, kata orang alang-alang mandi kalau tak basah dan alang-alang bercinta kalau tidak sampai berkahwin. Sebab itu, meskipun kita mempunyai banyak cabaran, rintangan dan godaan didalam hal mengikut Tuhan Yesus, janganlah kita mudah putus asa. Kita kuatkanlah hati dan tabah semangat untuk terus mengikutiNya meskipun kita menghadapi perbagai masalah. Kerana lebih baik mati didalam proses terus mencuba menjadi pengikutNya yang baik daripada mati tanpa mencuba.


Jestru itu, marilah kita terus mencuba dan mencuba untuk menjadi umat Kristian yang lebih baik. Dan jangan lupa meminta bantuan rohani daripada Tuhan yang Maha Esa. Janganlah terlalu bergantung kepada tenaga dan kekuatan diri sendiri. Amin.


Wednesday, June 24, 2009

Mintalah...

Firman Tuhan berbunyi: "Mintalah maka akan diberikan kepadamu...."(Matius 7:7a). Cuba kita renungkan secara peribadi: Apakah yang selalu kita minta daripada Tuhan apabila kita menyampaikan permohonan kita didalam doa? Bukankah selalunya kita meminta hal dan perkara yang berkaitan dengan perkara-perkara duniawi?
Biasanya kita meminta kekayaan duniawi seperti wang, harta, emas, rumah, kereta, tanah dan sebagainya. Selain daripada itu kita juga suka meminta kedudukan yang tinggi didalam dunia ini dan meminta pangkat. Meskipun perkara-perkara ini tidak jahat jika ianya digunakan dengan baik namun kenapa kita terlalu meminta kekayaan duniawi? Kenapa tidak meminta harta surgawi? Sedarkah kita bahawa kekayaan duniawi adalah sementara sahaja? Sesungguhnya, harta duniawi bukanlah milik kita selama-lamanya? Kerana semua kekayaan duniawi ditinggalkan apabila kita kembali kehadapan Tuhan. Segala-galanya kita tinggalkan apabila kita mati!
Jadi, marilah kita belajar meminta harta surgawi atau harta rohani seperti ketabahan dan kesabaran melakuan kehendak Tuhan, kesetiaan mengikuti segala pengajaran Tuhan, hati yang dermawan, hati yang pengampun, sifat yang rajin dan setia berdoa, sifat yang bencikan kejahatan dan dosa, dan sebagainya. Kerana inilah harta yang berkekalan yang kita bawa mati. Dan kita diadili oleh Tuhan berdasarkan kepada harta surgawi yang kita miliki dan bukannya berdasarkan kepada banyaknya harta duniawi yang kita miliki. Jestru itu, marilah kita belajar meminta harta surgawi daripada harta duniawi. Amin.

Tuesday, June 23, 2009

Sembunyikan.....

Firman Tuhan berbunyi: "Lebih baiklah orang yang menyembunyikan kebodohannya
daripada yang menyembunyikan kebijaksanaannya"(Sirakh 41:15).
Apakah kebiasaan atau kecenderungan kita? Biasanya berlagak pandaikan!? Inilah yang menjadi masalah kita, walaupun tak faham tetapi mengaku faham; Tak mengerti pun mengaku mengerti; Tak tahu pun mengaku tahu. Akhirnya bila kedapatan maka, orang pun tahu kita sebenarnya bodoh. Sebab itu, Janganlah berlagak pandai kalau tak pandai nanti suatu hari nanti kedapatan dan ketahuan juga. Dan kalau dah kedapatan jangan hairan jika orang menyatakan kepada kita "pandai tapi bodoh!"
Janganlah kerana malu mengaku tidak pandai atau takut dipandang rendah ataua takut kalah maka, kita berlagak pandai. Sebenarnya, lebih baik kita mengakui "kebodohan", atau kelemahan dan kekurangan kita supaya kita lebih terbuka untuk mempelajari apa yang kita tidak tahu. Dan orang pula lebih mudah dan senang untuk memberi bantuan atau pertolongan kepada kita untuk mengatasi kepincangan kita.
Dan kalau kita ada kebijaksanaan atau kepandaian, janganlah luki atau tamak atau kedekut sehingga kita tidak mahu membahagikan atau mengsharingkan kebijaksanaan kita itu kepada orang lain. Disamping itu, janganlah pula bersikap sombong dan minta puji kerana kita bijak. Sesungguhnya, jauhilah sikap yang "masuk bakul dan angkat sendiri." Sebaliknya, jika kita ada kepandaian' bahagiakanlah kepandaian kita itu kepada orang lain terutama sekali yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Dengan ini, Kita lebih diberkati Tuhan dan disayangi orang.Amin.

Monday, June 22, 2009

Kekayaan

Ada kisah tentang seorang muda yang kaya datang kepada Tuhan Yesus dan bertanya apakah yang harus dia buat untuk memperoleh hidup yang kekal. Yesus menjawap bahawa jika dia mahu benar-benar sempurna "pergilah, juallah segala milikmu dan berikanlah itu kepada orang-orang miskin, maka engkau akan beroleh harta di surga, kemudian datanglah kemarai dan ikutlah Aku." Tetapi orang muda itu tidak menyambut cabaran Tuhan Yesus. Dia pergi dengan sedih kerana dia memang banyak harta(Matius 19:16-22).
Menjadi orang kaya tidak salah; dan mempunyai kekayaan juga tidak salah. Tetapi janganlah gara-gara mahu menjadi kaya, kita lakukan apa saja untuk menjadi kaya sehingga Tuhan dan pengajaranNya dilupakan. Ini adalah tindakan yang salah dan tidak bijak. Sebab itu, jika kita mahu mencari kekayaan maka, carilah dengan cara yang baik dan murni.
Ingatlah bahawa kekayaan yang kita miliki janganlah menghalang dan menyebabkan kita lupa kepada Tuhan. Sebab itu, janganlah kita menggunakan kekayaan kita untuk melakukan perkara-perkara yang jahat dan tidak bermoral. Gunakanlah kekayaan yang kita miliki dengan baik. Misalnya membantu orang-orang yang miskin dan susah. Dengan ini, kekayaan mendatangkan berkat keatas diri kita daripada Tuhan; dan kebahagian serta kegembiraan kepada penerimanya. Amin.