Monday, April 19, 2010

Mau makan apa?

Didalam Perjanjian Lama seperti yang terdapat didalam Kitab Imamat bab 11:1-47, dinyatakan bintang-binatang  yang haram iaitu yang  tidak boleh dimakan dan yang tidak haram iaitu binatang-binatang yang boleh dimakan. Walau bagaimana pun didalam Perjanjin Baru larangan ini ditiadakan oleh Tuhan Yesus. Dia mengajar bahawa semua jenis makanan yang boleh dimakan.

Pengajaran ini begitu jelas dan nyata didalam   Injil Markus bab 7, ayat 14 sehingga ayat 23(Mrk 7:7-23)  jelas sekali dinyatakan bahawa kita boleh makan apa saja jenis makanan yang boleh dimakan. Menurut Tuhan Yesus, apa yang dimakan akan ke jamban atau tandas." Apapun dari luar yang masuk kedalam seseorang, tidak akan menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari seseorang, itulah yang menajiskannya.....Dengan demikian Yesus menyatakan semua makanan adalah halal.(Mrk 7:15,19)"

Walau bagaimana pun, ini bukan bererti kita hantam makan apa saja. Jadi, pandai-pandailah bah makan makanan yang bersih, dan tidak membahayakan kesihatan badan. Ini bererti  makanan yang beracun, kotor, bangas atau basi dan boleh membahayakan dan memudaratkan kesihatan tidak boleh kita makan. Jadi, kita makanlah makanan yang bersih, baik dan tidak membawa apa padah kepada diri kita.  

Bah. ingat-ingatlah, makanlah mengikut keperluan, jangan makan sesuka hati dan terlalu makan nanti sakit. Makan secara berlebih-lebihan boleh menyebabkan penyakit. Jadi, makanlah menurut keperluan badan. Mesti "jaga badan mah..."

Kesimpulan yang kita dapat rumuskan berdasarkan kepada Alkitab ialah,  kita boleh makan semua jenis makanan asalkan makanan berkenaan tidak membahayakan badan kita. Jadi, pandai-pandailah memilih makanan yang sesuai dengan selera, minat dan keperluan diri sendiri. Jadi, jangan berlebih-lebih kalau makan kio. Bahaya moti kalau talampau makan meskipun makanan itu sedap sekali. Tapi kawallah "nafsu makan" nanti sakit, susah lagi berubat. Dan yang paling malang, kita kehilangan selera makan bila sakit.  Sebab itu, makanlah baik-baik supaya selera makan pun tak hilang. Hehehe....

Sunday, March 28, 2010

Barabas atau Yesus?

Didalam Alkitab(Lukas 23:1- 25) tercatit kisah dimana Pilatus bertanya kepada  orang awam siapakah yang mereka pilih untuk dilepas dari tahanan. Kerana menurut kebiasaannya,  pada hari raya ia melepaskan seorang tahanan. Pada masa itu dihadapan mereka ada dua orang tahanan iaitu   Barabas yang memang diketahui orang ramai sebagai orang yang jahat sekali. Dan Yesus yang terkenal kebaikannya. Ini bererti mereka harus memilih diantara yang baik dan jahat atau yang hitam dan yang putih. Pilihan itu begitu jelas dan terang sekali. Yang baik terang-terang didepan mata mereka tetapi sungguh menghairankan sekali. Mereka tidak memilih yang baik sebaliknya mereka memilih yang jahat. Pilihan mereka memperlihatkan kebodohan dan kecetekan kebijaksanaan mereka. Bagaimana dengan kita? Apakah kita seperti mereka juga?

Didalam hidup kita juga sering melakukan pilihan yang salah. Misalnya, ada diantara kita yang abaikan kewajiban pergi ke sembayang pada hari Minggu(Ahad) kerana gara-gara mahu main bolasepak atau futsal atau badminton atau kerana gila berkerja atau kerana mengadakan majlis ramai-ramai pada hari minggu.
Ada juga orang sanggup  meninggalkan Yesus kerana gara-gara berkahwin dengan orang yang tak sama agama atau kerana mahu isteri lebih daripada satu. Ada juga orang "tukar agama" kerana mahukan kenaikan pangkat. Inilah beberapa contoh yang dapat kita lihat dikalangan umat kita sendiri.

Saudara dan saudari marilah kita sentiasa memilih yang terbaik iaitu perkara yang tidak bertentangan dengan pengajaran Yesus atau Alkitab. Janganlah kita terpengaruh dengan perkara yang cantik dan menarik dilihat tetapi pada amnya ianya bertentangan dengan pengajaran Tuhan. Janganlah kita mudah tertarik dengan hal-hal duniawi yang menyebabkan kita berdosa. Marilah kita jauhi apa juga jenis kejahatan dan sentiasa memilih yang diberkati dan diredai Tuhan yang Maha Esa. Pendek kata, pilihlah Yesus kerana dialah pilihan yang terbaik  dan tolaklah Barabas kerana ia adalah pilihan yang jahat dan buruk. Jadi, marilah kita  bertobat dengan meninggalkan apa juga jenis kejahatan dan dosa. Dan marilah kita menjadi pengikut Tuhan Yesus yang terbaik. Amin!


Wednesday, February 17, 2010

Hari Tiga Abu:Bermulanya musim puasa.

Bagi umat Katolik, Perayaan Hari Tiga Abu adalah permulaan puasa selama 40 hari. Pada musim yang mulia ini tiga aspek  yang utamakan iaitu 1: Memberi Derma:  Kita selaku umat Krisitan adalah diingatkan agar tidak lupa membantu orang-orang yang kekurangan. Sebab itu pada musim ini kita dicabar untuk memberi derma melebihi daripada kebiasaan kita. Misalnya kalau kebiasaan kita adalah memberi RM1.00 setiap kali acara Kolesion diadakan didalam Gereja maka, kita cubalah memberi derma melebihi daripada kebiasaan yang dah lapuk ini. Cubalah beri yang hijau-hijau(RM5.00) atau yang merah-merah(RM10.00). Dan ingat yaa....kalau menderma, janganlah diheboh-hebohkan kepada orang lain. Ini bererti kalau memberi derma, DIAM-DIAM bah! Jangan buat publisiti atau iklan.

2: Doa: Pada musim yang mulia ini, kita juga diingatkan supaya meningkatkan doa. Jadi, kalau kita malas-malas sembayang atau pergi sembayang, bah ubahlah itu tabiat. Rajin-rajinlah sembayang setiap hari dan jangan lupa pergi Gereja pada hari Ahad dan hari-hari yang wajib. Kata orang, "rajin-rajinlah sembayang sebelum disembayangkan." Dan ingatlah, kalau berdoa diam-diam. Jangan minta puji atau cari nama bila mau berdoa.

3: Puasa: Pada musim ini kita juga dicabar untuk berpuasa daripada makanan, minuman dan juga daripada aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan seperti acara "Aramai tii." Jadi, pada musim puasa ini, makanan dan minuman dikurangkanlah terutama sekali makanan yang sedap-sedap. Ini bererti makan secara sederhana. Aksi ini memberi kita peringatan bahawa kita hidup bukan untuk makan semata-mata tetapi kita makan untuk sambung kehidupan yang pasti akan berakhir suatu hari ini. Tapi yang paling penting kita ingat ialah berpuasa daripada melakukan kejahatan dan dosa. Pendek kata, pertobatan penting sekali dimusim puasa ini. Seperti yang terdapat didalam,Bertobatlah dan percayalah kepada Injil kerana Kerajaan Surga sudah dekat.

Jadi, semua yang kita lakukan pada musim puasa ini adalah untuk menarik perhatian kita supaya menempuhkan perhatian kepada Tuhan yang Maha Esa. Maka dengan itu semua yang kita lakukan sepanjang musim puasa ini adalah untuk kemulian dan keagungan Tuhan. Dan juga untuk kebaikan serta untuk keselamatan jiwa dan roh kita. Jestru itu, laluilah musim ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Semoga kita semua diberkati dan dirahmati oleh Tuhan yang Maha Esa pada musim yang mulia ini. Amin.

(Sumber Injil Matius 6:1-6,16-18. Untuk renungan seterusnya sila baca petikan Alkitab yang disediakan)

Tuesday, December 8, 2009

Musim Advent

Musim Advent bukanlah sekadar tempoh untuk menanti   tarik 25hb Disember iaitu hari yang diangkat sebagai tarikh untuk merayakan Hari Kelahiran Tuhan Yesus Kristus, tetapi  inti yang paling penting dimusim ini ialah kita diingatkan bahawa DIA akan datang lagi untuk kedua kali.


Maka, pengajaranNya yang berbunyi: " Bertobatlah, sebab Kerajaan Sorga sudah dekat!"(Mat 4:17), haruslah kita beri perhatian sepenuhnya. Jestru itu marilah sentiasa siap sedia untuk menyambut kedatanganNya dengan hidup sebagai orang Kristian yang sejati dan sentiasa menjauhkan apa juga jenis kejahatan dan dosa. Kerana perkara-perkara seperti ini menjauhkan kita daripada Tuhan. Jadi, marilah bersungguh-sungguh menjadi pengikutiNya yang taat, setia dan mulia agar peluang kita untuk memasuki KerajaanNya adalah cerah! Amin.

Monday, November 23, 2009

Jaga nama...

"Hendaklah engkau memelihara namamu, sebab ia tinggal padamu
lebih lama dari pada seribu harta emas yang besar."(Sirakh 41:12).

Petikan Alkitab ini, mengajar kita supaya menjaga nama baik kita. Ini juga bererti menjaga nama baik keluarga. Kerana kalau kita tidak menjaga nama kita dengan baik maka, seluruh ahli-ahli keluarga malah termasuk saudara-mara akan terkena juga. Seperti kata orang tua-tua,"Seekor kerabau membawa lumpur, semua pun terkena. Pendek kata, gara-gara seorang buat perkara yang jahat, semua ahli keluarga merasa malu atau kena kasi malu. Maka, dengan itu jagalah nama baik anda supaya nama keluarga juga terpelihara.

Monday, November 9, 2009

Besar atau kecil...

"Pada suatu kali Yesus duduk menghadapi peti persembahan dan memperhatikan bagaimana orang banyak memasukkan uang ke dalam peti itu. Banyak orang kaya memberi jumlah yang besar. Lalu datanglah seorang janda yang miskin dan ia memasukkan dua peser, yaitu satu duit. Maka dipanggil-Nya murid-murid-Nya dan berkata kepada mereka: "Aku berkata kepadamu, sesungguhnya janda miskin ini memberi lebih banyak dari pada semua orang yang memasukkan uang ke dalam peti persembahan. Sebab mereka semua memberi dari kelimpahannya, tetapi janda ini memberi dari kekurangannya, semua yang ada padanya, yaitu seluruh nafkahnya."(Markus 12:41-44).
Orang kaya menderma "wang yang besar"(Misalnya RM100.00 atau RM1,000.00) tetapi ini sebenarnya dianggap sebagai "tahi duit" mereka. Kerana jumlah ini adalah kecil sekali jika dibandingkan dengan kekayaan yang mereka miliki. Jadi, tidak hairanlah jika Tuhan Yesus tidak memberi pujian kepada mereka.
Sedangkan orang janda itu, meskipun didalam kemiskinan dan kesempitan dia mendermakan segala-gala yang dia miliki. Ini bererti dia memberi 100% wang yang dia ada. Patutlah Tuhan Yesus memuji-muji dia!
Sesungguhnya, petikan Alkitab ini mengajar dan mengajak orang-orang kaya supaya bersifat lebih dermawan. Jangan terlalu kedekut atau loki untuk memberi lebih banyak. Kerana ada kemampuan untuk memberi lebih banyak maka, berilah lebih sikit. Maklumlah orang kaya!
Petikan Alkitab ini juga mengajar orang-orang miskin/sederhana supaya tidak menjadikan kemiskinan dan kesempitan hidup sebagai alasan untuk tidak menderma. Janganlah malu-malu memberi yang kecil. Meskipun ianya kecil tetapi dermakan saja. Kerana didalam hal memberi atau menderma yang penting ialah memberi sesuai dengan kemampuan. Besar atau kecil derma, ini adalah perkara kedua. Yang penting ialah memberi atau menderma dengan iklas berdasarkan kepada "keberadaan."
Jestru itu saudara dan saudari, marilah kita menderma sesuai dengan kita kemampuan kita. Kalau kita ada lebih maka, besarlah derma kita. Tetapi jika kedudukan kewangan kita "kecil" maka derma kita pun kecil jugalah. Yang penting didalam "kemiskinan" pun kita tetap sudi dan iklas menghulurkan derma kepada orng-orang yang memerlukkan bantuan. Amin.

Friday, October 30, 2009

Jika kamu mengasihi...

Yesus berfirman, "Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku"(Yohanes 14:15).
Sesungguhnya, jika kita mengasihi Tuhan, kita dengan senang hati mengikuti segala pengajaranNya kerana kita mengasihiNya. Tapi masalah kebanyakan kita ialah kita tidak tahu pun apa itu pengajaran atau perintah Tuhan! Jadi jika kita mahu belajar untuk mengasihi Tuhan maka, kita perlulah berusaha untuk mengetahui apa itu perintah-perintah atau pengajaran Tuhan. Bagaimana caranya?
Berikut adalah antara beberapa caranya: 1) Bacalah Alkitab setiap hari.Mulakan dengan membaca Bahagian Perjanjian Baru terutama sekali Buku Injil-Injil; 2) Baca buku-buku rohani Krisitani; 3) Ikut serta didalam seminar-seminar atau Retreat yang diadakan oleh pihak Gereja; 4) Taat dan Setia pergi sembayang/Misa setiap minggu dan pada hari-hari yang ditetapkan Gereja sebagai Hari Wajib ke Gereja; 5) Minta bimbingan atau petunjuk daripada para Fr, Religious dan Kategis yang arif didalam agama Kristian. (Jangan malu bertanya bah kalau ada persoalan/masalah agama); 6) Berdoalah kepada Tuhan untuk memohon petunjuk agar anda dapat mengetahui kehendakNya dan pengajaranNya; 7) Dengar/tonton TV/CD/Kaset yang berunsur agama Kristian;
Sesungguhnya pengetahuan agama kita hanya akan bertambah jika kita rajin berusaha untuk menimba ilmu agama. Dengan usaha sedemikian maka kita akan akan lebih mengetahui perintah/pengajaran Tuhan. Maka dengan pengetahuan yang kita dapati atau miliki, kita akan tahu bagaimana untuk lebih mengasihi Tuhan. Sebab itu, marilah kita rajin-rajin menambah ilmu agama terutama sekali dengan memiliki senaskah Alkitab dan membacanya setiap hari. Semoga dengan usaha seperti ini, kita akan lebih mengetahui perintah-perintah Tuhan dan akan lebih mengasihi Tuhan. Amin.