Firman Tuhan berbunyi: "Janganlah orang bijaksana bermegah kerana kebijaksanaannya"(Yeremia 9:23a). Kita harus berusaha untuk menjadi orang bijak atau orang pandai. Ini bererti, kita janganlah malas menimba dan mencari ilmu iaitu dengan membaca dan belajar bersungguh-sungguh agar menjadi manusia yang berpengetahuan dan berjaya didalam pelajaran. Tapi kalau dah berjaya jangan macam-macam pula!
Ada orang apabila dah berjaya didalam pelajaran mereka dan mendapat pekerjaan yang baik dan bergaji tinggi tetapi kedekut! Jarang membantu orang yang susah dan miskin; Ada pula orang yang pelajarannya tinggi sekali lalu mendapat kedudukan yang menjadikan dia sungguh berkuasa tetapi menyalah-gunakan kuasa; Disamping itu ada juga orang yang berpelajaran tinggi lalu mendapat berbagai pujian dan pangkat sehingga menjadi sombong dan kurang kerendahan hati. Dan.....tidak kurang juga orang yang berpelajaran tinggi dan menjadi kaya tetapi LUPA Tuhan yang Maha Esa! Sesungguhnya, sifat-sifat seperti diatas adalah tidak baik. Kerana itu, janganlah kita menjadi seperti mereka. Kita mesti ingat bahawa segala yang kita miliki termasuklah kebijaksanaan adalah datang daripada Tuhan. Sebab itu, janganlah lupa Tuhan kalau dah tinggi sekolah.
Tidak ada gunanya kalau kita tinggi pelajaran tetapi tinggi juga kesombongan. Kalau kita bersikap seperti ini maka padanlah kita digelar "pandai tapi bodoh!" Kerana melupakan Tuhan iaitu sumber segala kebijaksanaan. Jadi, marilah kita menjadi manusia yang berpelajaran tetapi sentiasa ingat kepada Tuhan dan taat kepada-Nya. Amin.