Yesus memberi peringatan kepada para pengikutNya," Masuklah melalui pintu yang sesak itu, karena lebarlah pintu dan luaslah jalan yang menuju kepada kebinasaan, dan banyak orang yang masuk melaluinya; karena sesaklah pintu dan sempitlah jalan yang menuju kepada kehidupan, dan sedikit orang yang mendapatinya"(Mat.7:13-14).
Pintu yang sesak bererti pintu kekudusan yang menuju kepada Kerajaan Surgiawi; pintu kepada Tuhan. Pintu ini dianggap kebanyakan orang sebagai jalan yang susah dan sering dilupakan atau diabaikan. Itulah sebabnya banyak orang lupa Tuhan kecuali apabila mereka menghadapi kesusahan, masallah dan sakit. Pada masa-masa seperti ini, mereka mencari dan memerlukan Tuhan. Kerana inginkan kesembuhan dan takut mati! Tetapi sebaik saja, mereka sembuh dan sihat, Tuhan dilupakan lagi dan pengajaran Tuhan juga diabaikan.
Memang banyak manusia tidak begitu suka menjadi kudus tetapi didalam masa yang sama mereka juga tidak mahu menjadi orang yang jahat sekali. Iman mereka ini bagaikan Hidup segan, mati tak mahu; Mau masuk surga juga tetapi tidak mau hidup sebagai orang-orang yang bakal memasuki Surga.
Sementara itu, banyak orang sukakan pintu yang lebar dan luas. Dan inilah jalan duniawi yang mengasikkan dan menyeronokkan. Meskipun jalan ini bukan menuju kepada Kerajaan Surgawi tetapi, banyak orang tergila-gilakan jalan ini. Mereka hidup dengan konsep duniawi yang mengutamakan keseronokan, kebendaan, wang, pesta, seks, arak, dan sebagainya yang dianggap seronok, sedap dan siok!
Saudara dan saudari, didalam kehidupan ini kita mesti mencari dan membuat keseimbangan didalam hidup. Pintu yang sempit tidak kita boleh tolak begitu saja dan pintu yang lebar pula tidak boleh kita terima bulat-bulat begitu saja. Kerana diantara dua pintu kehidupan ini iaitu pintu sempit dan pintu lebar, kita mesti mencari keseimbangan. Kerana kedua-duanya penting tetapi yang satu pintu iaitu pintu sempit, pintu kekudusan, pintu Tuhan haruslah kita mesti utamakan dan tempatkan yang pertama didalam hidup kita.
Sementara itu, pintu yang luas iaitu pintu dunaiwi, boleh juga kita gunakan. Tetapi kita mesti bersifat secara bijak dan dengan penuh berhati-hati. Janganlah kita agung-agungkan pintu ini, kerana semua yang berada didalam pintu ini adalah sementara sahaja dan akan sampai masanya kita akan tinggalkan semua perkara yang ada didalam pintu ini. Sebab itu, marilah kita pentingkan dan utamakan pintu yang sempit. Meskipun ianya susah tetapi ianya menuju kepada kebahagian dan kehidupan yang kekal bersama-sama dengan Tuhan. Dan janganlah kita terpedaya dengan pintu yang luas, lebar dan senang kerana jalan ini menuju kepada kesengsaraan abadi. Amin.