Pada awal pagi pada hari Ahad, beberapa pengikut Yesus telah pergi ke tempat Dia dikuburkan. Mereka begitu terkejut bahawa batu yang menutup kuburNya sudah terbuka. Dan ini agak menakutkan tetapi malaikat Tuhan berkata kepada mereka: "Janganlah kamu takut; sebab aku tahu kamu mencari Yesus yang disalibkan itu. Ia tidak ada di sini, sebab Ia telah bangkit, sama seperti yang telah dikatakan-Nya. Mari, lihatlah tempat Ia berbaring(Mat 28:5-6).
Peristiwa kebangkitan Tuhan Yesus telah terjadi lebih daripada dua ribu tahun yang lalu. Apakah maknanya kepada kita pada hari ini? Sesungguhnya, peristiwa ini sungguh-sungguh bermakna bagi kita, kerana ini memberi kita pengajaran yang jelas sekali bahawa kematian bukanlah titik nota kehidupan. Tetapi sebaliknya ada sambungan kehidupan selepas kita meninggalkan bumi yang bertuah ini! Jadi, apa yang penting bagi kita ialah hidup dengan semangat kebangkitan setiap hari. Bagaimana?
Satu, dengan mengimani Tuhan sepenuh hati kita dan menyembahNya setiap hari. Ini bererti kita taat dan tabah berdoa setiap hari. Kedua, kita berusaha sedaya upaya untuk mengikuti segala pengajaran Tuhan terutama sekali perintahNya untuk mengasihiNya sepenuh hati dan mengasihi sesama manusia seperti kita mengasihi diri sendiri. Ini bererti mengasihi semua manusia tanpa mengira warna kulit, kedudukan, bangsa dan agama. Ketiga, sentiasa melakukan yang terbaik untuk Tuhan dan untuk sesama manusia. Ini termasuklah melakukan kebajikan atau bantuan kepada orang yang miskin dan susah. Keempat, sentiasa menolak dan menjauhikan segala jenis kejahatan dan dosa. Ini juga melibatkan kita hidup aman dan damai dengan sesama manusia tanpa permusuhan dan kebencian. Kelima, menghargai dan menghormati kehidupan yang diberi oleh Tuhan. Dan ini juga termasuklah kehidupan orang lain dan segala hidupan ciptaan Tuhan yang Maha Esa.
Saudara dan saudari, marilah kita hidup dengan semangat kebangkitan setiap hari tanpa terlalu risau dan bimbang tentang hal-hal dunaiawi. Tetapi kita sentiasa pastikan bahawa Tuhan adalah yang pertama dan yang terpenting sekali didalam kehidupan kita setiap hari. Amin.