Satu lagi aspek yang penting sekali di musim puasa ini ialah memberi derma. Ini bererti pada musim yang mulia ini, kita disedarkan agar ingat-ingatlah orang yang susah dan kekurangan. Sebab itu pada musim ini, kita dengan ringan hati berilah derma didalam apa juga bentuk kepada orang-orang yang susah dan miskin. Dan kalau pergi sembayang, jangan lupa memberi lebih daripada kebiasaan. Misalnya kalau kita biasa memasukkan RM1.00 kedalam "kantung derma", cubalah memberi lebih daripada itu. RM2.oo kah atau RM5.00 kah, atau RM10.00 atau lebih daripada itu. Selaian daripada itu, jika kita melihat orang yang kurang upaya(cacat) bermain muzik di tepi kedai atau menjual makanan ringan atau tisu maka, bantulah mereka dengan menghulurkan derma atau membeli barang yang mereka jual.
Sebenarnya, kita dapat memberi derma didalam banyak cara dan bentuk. Tidak semestinya didalam bentuk wang dan benda sahaja. Kerana kita juga boleh memberi derma dari segi kemahiran(skill), tenaga dan masa. Kita boleh melakukan kerja-kerja amal seperti membersihkan kawasan Gereja atau Rumah Ibadat, melawat Rumah orang tua-tua, meluangkan masa dengan ibubapa kita atau nenak atau datuk kita yang dah lama tak sempat dilawati dan sebagainya; Para ibubapa pula boleh menderma masa dengan meluangkan masa yang lebih banyak dengan anak-anak; Dan anak-anak pula boleh menderma tenaga dengan lebih rajin menolong ibu-bapa dengan kerja-kerja di rumah dan sebagainya. Pendek kata, kita boleh menderma didalam banyak cara dan bentuk, tidak semestinya didalam bentuk wang dan benda. Walau bagaimana pun, sesuai dengan pengajaran Alkitab, janganlah kita membesar-besarkan atau melaung-laungkan pekerjaan amal kita atau derma yang kita berikan: "Apabila engakau memberi sedekah, janganlah engakau mencanangkan hal itu.....Jika engkau memberi sedekah, janganlah diketahui tangan kiri mu apa yang diperbuat tangan kanan mu"(Rujuk Mat.6:1-4).
Jadi, jelas sekali bahawa Alkitab mengajar kita supaya jangan mencari nama atau populariti apabila memberi derma kepada orang lain. Jadi, marilah kita belajar menderma dengan senyap. Jangan macam ayam betina "Bertelur sebiji, riau sekampung." Dan janganlah kita mengamalkan konsep "masuk kedalam bakul dan angkat sendiri" didalam hal memberi bantuan atau derma kepada orang yang susah dan miskin. Semoga kita bangga dan merasa bahagia memberi tanpa menarik perhatian orang lain. Kerana apa yang kita lakukan adalah untuk kemuliaan Tuhan yang Maha Esa dan bukannya untuk kemuliaan diri kita sendiri. Amin.