Thursday, March 5, 2009

Pedoman berpuasa-3: Doa.

Doa adalah satu lagi aspek yang ditekankan pada Musim Puasa ini. Jadi, pada masa yang mulia ini, kita diminta agar melihat aspek doa didalam kehidupan kita sebagai orang Kristian. Berikut adalah beberapa soalan yang boleh dijadikan bahan renungan: 1) Adakah saya setia dan rajin berdoa setiap hari atau jarang-jarang berdoa?; 2) Adakah saya berdoa menurut perasan(mood)? Misalnya kalau mood saya baik maka, saya berdoa. Tetapi bila mood tak baik maka, saya pun tak berdoa.; 3) Adakah saya berdoa mengikut cuaca?(Contohnya: Kalau hujan saya tak pergi sembayang. Tapi, kalau tak hujan baru muncul di Gereja!); 4) Adakah saya hanya berdoa di Gereja tetapi di rumah jarang sekali berdoa?; 5) Apakah saya malu berdoa ditempat umum seperti di kedai makan? (Makan saja tanpa mengucapkan apa-apa doa kerana "malu" atau takut dilihat orang.) ; 6) Apakah tujuan saya berdoa? Adakah untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa saya orang yang holy-holy atau memang dengan iklas berdoa kepada Tuhan yang Maha Esa? ; 7) Adakah saya berdoa pada masa sakit dan susah sahaja? Tetapi pada waktu sihat dan senang jarang sekali berdoa?; 8) Apakah saya rajin pergi ke Gereja pada setiap Minggu dan pada hari-hari yang ditetapkan wajib pergi sembayang di Gereja/Chapel?; 9) Adakah saya sabar didalam doa terutama sekali bila saya memohon sesuatu daripada Tuhan?; 10) Adakah saya berdoa untuk keperluan orang lain atau saya hanya berdoa untuk kepentingan diri sendiri?; 11) Adakah saya berdoa untuk kecelakaan atau kesusahan pada musuh-musuh saya atau saya berdoa untuk berkat dan kebaikan mereka?; 12) Adakah saya malas da bosan berdoa?
Semoga soalan=soalan ini membantu kita untuk memeriksa diri kita masing-masing didalam hal berdoa. Sesungguhnya, Alkitab mengajar kita supaya rajin berdoa. Dan ia juga mengajar kita supaya jangan bertele-tele bila berdoa. Ini bererti berdoa panjang-panjang dan dengan perkataan yang banyak sekali adalah tidak digalakkan. Selain daripada itu Alkitab juga mengingatkan kita supaya jangan berdoa dengan tujuan untuk mendapatkan pujian atau perhatian daripada orang lain; Kita diajar agar berdoa "diam-diam dan senyap". Jestru itu, marilah kita berdoa seperti yang diajar oleh Tuhan Yesus. Sebab itu, jangan lupa berdoa "Bapa Kami" setiap hari(Mt.6:5-13; Efe.6:17).
Berdoa adalah penting sekali didalam kehidupan kita selaku orang Krisitan. Kerana melalui doa kita menyampaikan kata-kata pujian dan penyembahan kepada Tuhan dan mengucapkan "Terima kasih" kita kepada-Nya kerana memberi kita kehidupan dan berbagai-bagai keperluan dan berkat didalam hidup kita. Disamping itu, jangan lupa memohon keampunan diatas segala kesilapan dan dosa yang pernah kita lakukan. Jadi, marilah kita rajin berdoa. Kerana apabila kita berdoa, kita ingat Tuhan maka, bila kita ingat Tuhan kita tidak berani melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan pengajaran Tuhan. Dengan ini kita lebih diberkati oleh Tuhan dan iman kita menjadi semakin kuat dan mantap.
Saudara dan saudari, semoga Firman Tuhan yang berbunyi: "Berjaga-jagalah dan berdoalah, supaya kamu jangan jatuh ke dalam percobaan" (Mt.26:41) memberi kita kesedaran dan dorongan supaya rajin berdoa. Sama-samalah kita berusaha agar setia dan tetap didalam hal berdoa. Dan jangan kita lupa untuk saling berdoa untuk sesama. Marilah kita bertobat dan buangkan sikap yang merugikan iaitu malas berdoa. Marilah membina semangat baru sempena dengan musim puasa ini. Sebab itu, marilah kita tingkatkan usaha untuk berdoa. Kerana kalau kita malas berdoa, lama-kelamaan kita akan jauh daripada Tuhan dan lebih terikut-ikut kepada godaan dan pujukan setan dan iblis. Sebab itu, marilah dengan rendah hati, sabar dan tabah berdoa agar seluruh kehidupan kita terarah kepada melakukan kehendak Tuhan dan mengikuti segala pengajaran-Nya. Amin.