Tuesday, July 28, 2009

Jangan Jahat Bah!


"Jangan berbuat jahat, maka yang jahat takkan menimpa dirimu, jauhilah durjana, niscaya engkau pun akan dihindarikannya pula"(Sirakh 7:1).


Petikan Alkitab pada kali ini mengajar dan mengingatkan kita supaya jangan berbuat jahat. Kerana kalau kita berbuat jahat, kejahatan juga yang akan kita terima. Kalau bukan didunia ini, nanti di kemudian hari iaitu di neraka pasti kita akan mendapat hukuman diatas kejahatan kita semasa hidup didunia. Sebab itu saudara dan saudari marilah kita menjadi manusia yang baik-baik, taat kepada Tuhan dan sentiasa menjauhkan apa juga jenis kejahatan.
Janganlah kita memilih jalan kehidupan dipertengahan antara jalan yang baik dan jalan yang jahat iaitu jalan 50/50. Tetapi, mari kita memilih hanya satu jalan iaitu jalan kehidupan yang baik.Kerana jalan ini diredai dan diberkati Tuhan agar kita mendapat keselamatan dan kebahagian dimasa akan datang. Amin.

Friday, July 24, 2009

Kebijaksanaan

"Segala kebijaksanaan dari Tuhan asalnya dan ada padaNya selama-lamanya. Tuhanlah yang mencipta kebijaksanaan"(Sirakh 1:1 & 9).


Ada orang menjadi bijak dan mereka begitu berjaya didalam pelajaran mereka sehingga menjadi "Boss Besar!" Yaa.......berpangkat besar, bergaji besar, ada rumah besar, kereta besar, dan kadang-kadang tuu bini/laki pun besar! Tapi kesombongan dan keangkuhan pun besar juga! Inilah yang tidak baik.


Saudara dan saudari, janganlah kita menjadi sombong dan angkuh kerana segala kebijaksanaan yang kita miliki datang daripada Tuhan. Ini adalah pemberian sementara. Ianya tidak akan berkekalan kerana masanya akan sampai dimana kita tidak akan bijak lagi. Ini biasanya akan terjadi terutama sekali apabila kita menjadi tua dan nyayuk! Sebab itu, janganlah tinggi hidung.
Selain daripada itu, gunakanlah kebijaksanaan yang ada pada diri kita untuk kebaikan sesama manusia dan juga untuk kebaikan diri sendiri dan keluarga. Kongsikanlah apa yang ada pada diri kita. Tolonglah orang-orang yang kurang bijak.


Marilah mencontohi padi yang semakin berisi semakin tunduk ke tanah. Jadi, meskipun kita mungkin memiliki kebijaksanaan atau berpelajaran tinggi, janganlah terlalu tinggi itu hidung. Pendek kata janganlah kita hilangkan sifat merendahkan hati meskipun kita ada kepintaran.
Dan kalaulah kepintaran kita tak seberapa, janganlah seperti ayam yang bertelur sebiji riau sekampung. Kalau kepintaran kita tak seberapa, janganlah berlagak macam orang pintar. Nanti, orang panggil "pintar-pintar bodoh!" Sendiri juga yang merah muka dan malu! Jadi, didalam segala hal, lebih baik bersifat b"diam-diam ubi tapi berisi" bah! He he he....

Thursday, July 23, 2009

Kasih

Alkitab menyatakan bahawa: " Sekali pun aku mempunyai karunia untuk bernabuat dan aku mengetahui segala rahasia dan memiliki seluruh pengetahun; dan sekali pun aku memiliki iman yang sempurna untuk memindahkan gunung, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, aku sama sekali tidak berguna"(I Kor.13:2).

Petikan Alkitab ini mengajar kita bahawa TANPA KASIH atau CINTA, apa saja kita buat atau kerjakan semuanya sia-sia dan tidak bererti sama sekali. Sebab itu, didalam kehidupan kita selaku orang Kristian, kita mesti pastikan bahawa apa yang kita lakukan adalah berdasarkan kepada cintakasih kepada Tuhan. Dan bukannya bertujuan untuk mendapatkan pujian dan sanjungan dari mana-mana pihak. Ini bererti, kita tidak mencari nama didalam melakukan sesuatu perkara.

Kerana kita lakukan perkara berkenaan kerana kita iklas dan jujur didalam melakukan perkara berkenaan. Pendek kata, tidak ada "udang disebalik batu" disebalik perbuatan kita.


Sikap seperti ini adalah penting sekali, kerana apabila kita melakukan sesuatu perkara dengan cintakasih, maka yang penting bagi kita ialah melakukan perkara berkenaan dengan baik dan tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran dari mana-mana pihak. Dan bukannya mengharapkan ganjaran, sanjungan dan pujian dari mana-mana pihak tertentu. Kalau beginilah sikap kita, maka kita tidak merasa kecil hati atau sakit hati seandainya tidak ada orang menghargai apa yang telah kita lakukan. Kerana apa yang penting bagi kita secara peribadi ialah memberi dan bukannya menerima ganjaran dan pujian.

Jadi, saudara dan saudari, marilah kita melakukan apa saja yang baik dengan berlandaskan kepada cintakasih dan bukannya untuk mengejar nama dan pangkat. Semoga kita diberkati oleh Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Amin.

Friday, July 17, 2009

Bersyukurlah....


Firman Tuhan:"Bersyukurlah kepada Tuhan, serukanlah nama-Nya, perkenalkanlah perbuatan-Nya,"(Mazmur 105:1).


Sesungguhnya, kita telah menerima berbagai pemberian dan berkat daripada Tuhan, Pencipta kita. Dan kita akan terus menerima perbagai kurnia dan berkat dari-Nya dimasa-masa mendatang. Cuba kita perhatian kehidupan kita masing-masing dan cuba kira berapa banyak pemberian Tuhan kepada kita. Banyk betul bah! Susah mau kira. Misalnya rambut dan bulu,berapa ribu helai rambut dan bulu didalam badan kita. Meskipun yang lain senang saja mau kira seperti kita ada satu kepala, dua telinga, dua mata, satu hidung tapi dua lubangnya, dua kaki, dua tangan dan sebagainya. Banyak betul bah!


Nah, sekarang persoalannya ialah apakah kita menghargai dan bersyukur atau berterimakasih kepada Tuhan diatas segala pemberian-Nya? Cuba fikir sedalam yang mungkin. Apakah kita selalu berteima kasih kepada Tuhan? Kalau tidak, maka rajin-rajinlah berdoa dan bersyukur kepada Tuhan.


Saudara dan saudari, mariah bersyukur kepada Tuhan diatas segala kurni dan berkat yang diberikan-Nya kepada kita tanpa "terma dan syarat." Semuanya Dia berikan secara FREE, tanpa apa-apa bayaran kepada kita. Sebab itu, marilah bersyukur kepada-Nya dan menghargai apa yang telah diberikan-Nya kepada kita. Amin.

Thursday, July 16, 2009

Harta: "Halal atau Haram"


"Harta benda yang diperolehi dengan kefasikan tidak berguna"(Amsal 10a:2).




Memang tepat sekali menurut Firman Tuhan bahawa harta benda atau kekayaan yang didapati dan dimiliki melalui cara kejahatan adalah tidak berguna kerana ianya adalah "harta hitam" atau harta haram." Mungkin kekayaan berkenaan membahawa kesenangan dan keseronokan hati tetapi ia adalah "harta hitam." Sebab itu, pemiliknya sentiasa ada merasa tidak aman dan tidak tenang serta tidak tenteram didalam hatinya. Ia banyak harta tetapi tidak memiliki ketenangan jiwa dan roh. Kerana apa yang dia miliki adalah dari dari cara dan sumber yang salah, jahat dan haram. Misalnya orang yang memiliki kekayaan melalui penjualan barang-barang curian(kereta, handphone, dll) dan melalui aktiviti-aktiviti penipuan, peras-ugut, pelacuran, penjualan dadah, perjudian, dan sebagainya. Semua harta atau kekayaan yang didapati melalui kegiatan seperti ini adalah haram dan jahat. Ia adalah tidak halal dan tidak mendatangkan berkat kepada pemiliknya. Hartanya tidak diberkati Tuhan. Sekalipun sebahagian daripada harta berkenaan didermakan ia tetapi dianggap "harta hitam dan haram."




Berdasarkan kepada Firman Tuhan ini, marilah kita tanda kepada diri kita sendiri: :Harta dan kekayaan yang kita miliki datang daripada sumber yang baik atau jahat. Wang yang kita miliki didapati dengan cara yang baik atau tidak. Atau ianya datang dari sumber dan cara yang salah dan jahat. Pendek kata, apakah semua yang kita miliki adalah halal atau haram?




Saudara dan saudari mencari kekayaan memang tidak salah. Tetapi sebagai orang yang beriman kepada Tuhan, marila kita mencari kekayaan dengan cara yang betul, jujur, dan baik supaya apa yang kita miliki mendatangkan berkat didalam hidup kita. Sebab itu, jauhilah cara yang jahat untuk memiliki harta dan kekayaan. Amin.

Tuesday, July 14, 2009

Mengapa dan mengapa?!


Firman Tuhan bergema: "Mengapa kamu berseru kepadaKu, Tuhan, Tuhan, padahal kamu tidak melakukan apa yang Aku katakan?" (Lukas 6:46).


Cuba kita renungkan pertanyaan ini dengan sepenuh hati: Bukankan betul kita selalu berseru kepada Tuhan terutama sekali bila kita ada masalah, kesusahan dan sakit? Kita berdoa kepadaNya kerana pada saat-sat sedemikian kita maukan sesuatu daripadaNya. Beginilah kalau musim susah rajin betul berdoa. Tapi, bagaimana sikap kita bila dah dapat apa yang kita minta? Adakah kita masih rajin berseru atau berdoa kepadaNya? Bukankah kita sering sekali mengabaikan doa dan pengajaran Tuhan dimasa-masa sihat dan senang? Kenapa terjadi seperti ini?


Mungkin banyak sebabnya tetapi secara am dapat dikatakan bahawa ini adalah disebabkan perangai dan sifat kita yang menganggap Tuhan itu sebagai "kuli atau amah" kita. Bila susah dan kita perlukan Tuhan maka kita berdoa dan berseru kepadaNya. Tetapi dimasa sihat dan senang kita tidak begitu peduli Tuhan dan semua pengajaranNya.


Sesungguhnya, Firman Tuhan diatas mengajar dan menyedarkan kita supaya sentiasa taat dan setia kepada semua pengajaran Tuhan. Janganlah hanya pada musim susah maka barulah ingat dan berseru kepada Tuhan. Jestru itu, marilah kita menjadi pengikut Tuhan yang baik, setia dan mulia dengan melakukan apa yang dikatakanNya. Amin.

Thursday, July 9, 2009

Orang bebal!


Ada orang berfikir bahawa kerana begitu banyak kejahatan, kekejaman, ketidak-adilan, penipuan, pembunuhan dan berbagai-bagai lagi jenis penyakit yang terdapat didalam dunia ini maka mereka membuat kesimpulan bahawa Tuhan tidak ada! Mereka meragui kewujudan Tuhan. Kerana kata mereka, jika ada Tuhan kenapa begitu banyak kejahatan dan kesusahan didalam dunia ini? Kenapa Dia tidak menyelesaikan segala masalah dan melenyapkan semua kejahatan didunia ini? Kenapa?
Jangan salahkan Tuhan. Kerana Dia mengajar kita berbuat baik seperti saling mengasihi dan menjauhkan kejahatan dan dosa. Masalah dan kejahatan yang wujud didunia ini bukanlah diwujudkan oleh-Nya. Tetapi gara-gara manusia yang keras kepala dan tidak mengikut pengajaran Tuhan sepenuh hati.


Sesungguhnya, hal tidak percaya kepada Tuhan bukanlah suatu pendirian yang baru dibawah langit ini. Kerana sejak dulu memang ada saja manusia yang asyik mempersoalkan kewujudan Tuhan. Memang beginilah sikap manusia yang "pintar tapi bodoh." Pendek kata, orang bebal memang bersikap begini. Seperti yang dinyatakan didalam Alkitab: Orang bebal berkata dalam hatinya: "Tidak ada Allah!"(Mazmur 53:2a).


Saudara dan saudari, apa pun yang mempengaruhi dan menyebabkan kita meragui kewujudan Tuhan, janganlah terlalu emosi dan mengikut perasaan didalam hal ini. Kerana SIAPALAH KITA KALAU BUKAN TUHAN YANG MENCIPTA KITA? MASAKAN KITA HIDUP KERANA KITA MENCIPTA KEHIDUPAN KITA SENDIRI? Sebab itu, janganlah bersikap bodoh dan berlaku kasar kepada Tuhan. Sedarilah dan ingat-ingatlah bahawa kita bukan bertanduk didunia ini. Kita akan mati suatu hari nanti dan bertemu dengan Pencipta kita. Sebab itu, janganlah kita layan perasaan yang meragui kewujudan Tuhan. Tetapi sebaliknya, marilah berdoa memohon kepada Tuhan supaya Dia mengampuni segala dosa kita dan menguatkan iman kita kepadaNya. Amin.