Tuesday, November 25, 2008

Oh Ibu! Oh bapa!

Perintah Tuhan yang ke-empat: "Hormatilah ibubapa mu(Keluaran 20:12)." Perintah ini mengajar kita agar mencintai ibubapa kita sendiri dengan sentiasa menghormati mereka. Kerana berkat daripada kerjasama mereka dengan Tuhan maka wujudlah kita didalam dunia ini. Ini bererti hasil pengorbanan, pemeliharaan dan kasih-sayang mereka maka kita dapat hidup didalam dunia ini. Jadi, boleh dikatakan bahawa kalau bukan kerana mereka, masakan kita ada peluang berjalan diatas bumi ini. Tetapi, hasil daripada kasih-sayang dan kerjasama mereka dengan Pencipta kehidupan maka kita ada didunia ini. Sesungguhnya, kita benar-benar bertuah kerana mempunyai ibubapa yang sanggup menjaga dan membesarkan kita sehinggalah kita dapat berdiri diatas kaki sendiri. Bayangkanlah kalau tidak ada yang orang yang rela dan sudi untuk menerima kurnia anak daripada Tuhan. Sudah pasti kita tidak ada didalam dunia ini. Tetapi, puji Tuhan dan terima kasih kepada ibubapa kita masing-masing kerana mereka kita hidup didunia ini.
Sesungguhnya, kita tidak akan dapat membalas budi dan jasa ibubapa kita yang telah menjaga dan membesarkan kita sejak dari rahim sampailah kita menjadi dewasa. Jasa mereka tidak dapat kita bayar sepenuhnya meskipun dengan berkilo-kilo emas dan berjuta-juta wang. Kerana jasa dan cinta mereka kepada kita tidak dapat dinilai dan disamakan dengan emas dan wang. Sebab itu, kita tetap terhutang budi kepada ibubapa kita sampai bila-bila masa dan sepanjang hidup kita. Walau pun begitu, marilah kita sekurang-kurangnya membalas jasa dan budi mereka dengan mencintai dan menghormati mereka sepanjang hidup kita. Ini boleh kita tunjukan dan lakukan didalam berbagai-bagai cara antaranya adalah seperti berikut: 1) Kalau kita berkerja jauh dari mereka, luangkanlah masa untuk kembali ke rumah/kampung untuk melawat mereka terutama sekali pada musim cuti, dan harijadi mereka; 2) Berilah sokongan kewangan kepada mereka. Ingatlah, mereka telah membelanjakan wang beribu-ribu demi membesarkan kita dan memberi pendidikan kepada kita; 3) Panggillah mereka dengan penuh hormat; 4) Janganlah sakiti hati mereka; 5) Jangan bersikap tidak sopan kepada mereka; 6) Kalau mereka melakukan kesilapan, tegurlah dengan baik; 7) Jangan marah-marah kepada mereka; 8) Jangan terlalu bergantung kepada mereka kalau sudah dewasa dan berkerja; 9) Jangan terlalu mengira kalau berbelanja kepada mereka; 10) Jagalah mereka dengan baik dan dengan penuh kesabaran dihari-hari tua mereka; 11) Jangan sekali-kali berlaku kasar dan jahat kepada mereka; 12) Jangan lupa berdoa untuk kebaikan mereka; dan sebagainya...
Saya fikir, banyak lagi cara dan perkara yang dapat kita lakukan bagi menunjukkan cinta dan hormat kita kepada ibubapa kita sepanjang hidup kita. Jadi, pandai-pandailah kita menunjukkan kasih-sayang kita kepada ibubapa kita masing-masing. Tetapi apa yang penting sekali ialah seseuai dengan Perintah Tuhan yang ke empat ini ialah kita diingatkan betapa besar jasa dan budi ibubpa kita kepada kita dan kita diajar supaya sentiasa mencintai dan menghormati ibubapa kita.
Mungkin banyak juga pengalaman pahit dan asam yang pernah kita alami daripada ibubapa kita seperti dirotan atau dipukul disebabkan oleh kenakalan dan kesalahan yang kita lakukan; Kecewa kerana tidak diberi wang atau diberi apa yang kita minta; Marah dan geram dengan kelemahan, kekurangan,dan kesalahan yang mereka lakukan.......TETAPI..........AMPUNKANLAH MEREKA. Saya percaya, ibubapa merotan atau memukul kita dulu bukan kerana untuk kejahatan kita tetapi untuk kebaikan kita sendiri. Mereka mahu kita menjadi manusia yang baik, berdispilin, berjaya dan berguna dimasa akan datang. Pendek kata, buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih. Janganlah kita terlalu memikirkan perkara-perkara negatif, kelemahan dan kesilapan yang pernah dilakukan oleh ibubapa kita. Tetapi, lihatlah perkara-perkara yang baik dan positif yang mereka miliki dan hal-hal yang baik dilakukan oleh mereka. Ini lebih berguna daripada terlalu memikirkan perkara-perkara "jahat dan buruk" yang boleh menyebabkan kita selaku anak mereka menjadi seperti kacang lupakan kulit atau bersikap seperti " Si Tanggang" yang lupakan jasa ibubapanya setelah berjaya didalam hidupnya.
Jadi, marilah kita sentiasa mencintai dan menghormati ibubapa kita selagi ada masa dan peluang. Nanti, esok-esok kalau mereka sudah pergi dan meninggalkan dunia ini, menangis dan menyesal pula, kerana gagal menunjukkan cinta dan hormat kepada mereka. Jestru itu, cintailah dan hormatilah ibubapa anda walaupun mereka bukanlah ibubapa yang sempurna. Kerana merekalah ibubapamu dan kerana merekalah kerjasama mereka dengan Pencipta Kehidupan, maka anda ada di dunia ini. Amin.

Thursday, November 13, 2008

Kuduskankanlah Hari Tuhan.

Didalam Alkitab dibahagian Perjanjin Lama, Hari Tuhan adalah dikaitkan dengan Hari Sabbath yang bererti "Hari Rehat" untuk pergi ke Bait Allah atau Rumah Ibadat pada hari Enam atau Sabtu. Jadi pada hari tersebut, umat Israel atau Yahudi pergi ke rumah-rumah ibadat untuk berdoa dengan mendengar Firman Tuhan yang dipetik daripada Alkitab dan mendengar Pengajaran yang biasanya disampaikan oleh guru agama mereka. Ini adalah satu kewajiban agama yang tidak boleh diabaikan. Pada hari Sabbath juga mereka tidak boleh melakukan apa-apa perkerjaan kecuali suatu pekerjaan yang ringan dan tidak bertentangan dengan Undang-undang hari Sabbath. Ketetapan ini masih lagi mereka amalkan sampai sekarang. Walau bagaimana pun, pada hari ini dikalangan umat Kristian terdapat sedikit perbezaan.

Pada amnya kebanyakan Gereja-gereja Krisitian "Hari minggu pertama atau Hari Ahad" adalah "Hari Tuhan." Pada hari berkenaan, mereka berkumpul untuk berdoa bersama-sama sebagai satu umat Tuhan. Ini adalah sesuai dengan Tradisi umat Krisitan yang pertama sebagaimana yang dinyatakan didalam Perjanjian Baru; Tambahan pula, Tuhan Yesus telah bangkit dan menjelma pada hari berkenaan iaitu pada hari Ahad(Yoh.20:1-23). Tetapi ada juga gereja-gereja yang masih mengekalkan tradisi Perjanjian Lama, dimana mereka berkumpul pada hari Enam atau Sabtu untuk berdoa bersama-sama sambil mendengar petikan dan pengajaran yang berdasarkan kepada Alkitab.


Kenapa memilih hari Sabtu atau hari Ahad? Masing-masing Gereja atau agama ada pendirian yang tersendiri dan biasanya sebab dan alasan adalah munasabah, logik dan tidak menjadi masalah untuk diterima oleh mana-mana pihak sekiranya wujud sikap keterbukaan dan sifat yang saling menghormati pengajaran agama masing-masing tanpa prejudis, tanpa sifat yang memandang rendah dan menghakimi agama orang lain, serta tanpa sikap yang ego dan angkuh.


Apa juga "Hari Tuhan" sesuai dengan agama masing-masing, persoalannya ialah apakah kita menguduskan Hari Tuhan dengan pergi sembayang pada hari berkenaan atau tidak? Jadi, pada "Hari Tuhan" kita pergi kemana? Pergi ke Gereja atau pergi makan angin? Pergi bersukan atau bekerja? Atau mengadakan aktiviti duniawi seperti mengadakan pesta dan bergotong-royong? Atau diam-diam dirumah, malas pergi sembayang!


Sesungguhnya, Perintah Tuhan yang ketiga ini, mengajar kita supaya pergi ke Gereja atau Rumah Ibadat pada "Hari Tuhan." Inilah keutamaan pada hari Tuhan. Jadi, janganlah ponteng atau malas pergi ke sembayang pada hari Tuhan. Jadi, marilah kita menghormati dan menguduskan diri kita pada "Hari Tuhan" dengan meninggalkan hal-hal duniawi dan pergi sembayang. Kalau tak dapat pergi sembayang pada hari Ahad, pergilah pada hari Sabtu(Misa senja atau Sunset Mass). Pendek kata, jangan abaikan Hari Tuhan. Kalau didalam hal-hal lain kita ada masa, takkanlah kita tidak boleh adakan masa untuk Tuhan. Jestru itu, marilah kita Kuduskanlah hari Tuhan(Kel.20:8-9). Buatlah masa untuk Tuhan. Rajin-rajinlah pergi sembayang. Amin.


Monday, November 3, 2008

Merenung Printah Tuhan yang ke dua.

Perintah Tuhan yang kedua ialah," Jangan menyebut Nama Allah, Tuhan mu tidak dengan hormat."Perintah ini mengajar kita agar memanggil dan menyebut nama Tuhan secara hormat dan baik. Perintah ini juga memberi kita peringatan agar tidak menyebut nama Tuhan secara sembarangan iaitu secara tidak hormat. Jadi, bila kita berdoa sebutkan nama Tuhan dengan penuh hormat.
Perintah ini juga juga mengingatkan kita agar tidak menggunakan nama Tuhan untuk tujuan kejahatan seperti berbohong dan menipu. Malah bersumpah untuk menegakkan kebenaran juga tidak tidak digalakkan. Seperti yang dikatakan didalam Injil Matius:" Jika YA, hendaklah kamu katakan YA. Jika TIDAK, hendaklah kamu katakan TIDAK. Apa yang lebih daripada itu berasal dari si jahat(Mat 5:37). Ini bererti kita mestilah jujur dan iklas didalam kehidupan kita. Kalau kita bersalah, akuilah kesalahan/kesilapan kita dengan rendah hati. Kalau betul katakanlah yang benar dan kalau orang lain tidak percaya dengan kejujuran dan kebenaran yang kita katakan itu masalah mereka. Yang penting kita sudah berterus terang dan bercakap benar. Kecuali kalau anda/kita berbohong.Katakanlah yang betul dan benar.Jangan berselindung dengan menggunakan nama Tuhan. Ingat, Tuhan tahu bah! Kita berbohong atau bercakap benar.
Mungkin kita berjaya membohongi orang lain dengan menggunakan nama Tuhan. Tetapi, Ingatlah bahawa Tuhan tahu dan Dia tidak dapat kita bohongi walau bagaimana licik sekali pun teknik dan cara kita. Suatu hari nanti kebenaran akan timbul; suatu hari nanti kita akan kedapatan juga jika kita berbohong.
Selain daripada itu, kita juga harus berhati-hati agar tidak menggunakan nama Tuhan ketika didalam keadaan kecewa, susah, sedih atau marah. Jadi didalam keadaaan seperti ini banyakkan kesabaran dan berdoalah kepada Tuhan dengan rendah hati.
Sesungguhnya, perintah ini mengajar kita agar menggunakan dan menyebut nama Tuhan secara hormat dan baik. Jadi, marilah gunakan dan sebutkan nama Tuhan dengan baik. Amin.

Tuesday, October 28, 2008

Merenung 10 Perintah Tuhan yang Pertama

"Aku Allah, Tuhan mu. Sebab itu janganlah memuja berhala; Berbaktilah kepada-KU saja dan cintailah Aku lebih dari segala sesuatu.(Kitab Keluaran 20:1-6). Demikianlah perintah Tuhan yang pertama sekali. Bagaimanakah kita dapat menghidupi perintah ini didalam kehidupan kita selaku manusia yang percaya kepada Tuhan? Berikut adalah beberapa pedoman: 1) Tempatkan Tuhan yang pertama sekali didalam kehidupan kita; 2) Pastikan apa saja yang kita buat didalam kehidupan tidak bertentangan dengan perintah/pengajaran Tuhan; 3) Setialah kepada Tuhan didalam segala hal; 4)Jangan mencampur-adukkan kepercayaan dan pengajaran Tuhan dengan "ilmu-ilmu kegelapan" duniawi meskipun pun ia nampaknya baik; 5) Jangan melibatkan diri didalam upacara menyembah berhala atau setan atau Iblis; 6) Jauhlah apa juga jenis kejahatan keganasan, kekejaman dan keburukan serta apa juga yang bertentangan dengan perintah/pengajaran Tuhan; 7) Taatlah berdoa kepada Tuhan; 8)Jangan bertolak-ansur atau berkomporomi dengan dosa dan kejahatan; 9) Rendahkan hati dihadapan Tuhan,sembahlah Dia yang Maha Kuasa sepenuh hati; 10) Ingatlah, Tuhanlah yang memberimu kehidupan dan suatu hati nanti anda akan mati dan kembali kepadaNya. Sebab itu, cubalah sedaya upaya untuk menjadi orang beriman yang terbaik demi kemuliaan Tuhan dan demi keselamatan roh dan jiwamu diakhir zaman nanti.

Saudara dan saudari, marilah kita berusaha sepanjang hidup kita menjadi orang yang beriman yang benar-benar mencintai Tuhan sepenuh hati kita. Lagi pun, buat apa kita mengaku bahawa kita percaya kepada Tuhan, kalau kita tidak bersungguh-sungguh menjadi orang beriman yang sejati? Semoga dengan berkat dan bantuan Tuhan dan diiringi dengan kesungguhan yang mantap dan kuat, kita dapat menjadi manusia yang berkenan di mata Tuhan. Amin

Monday, October 20, 2008

Makanan menurut Alkitab

Pada amnya ada dua sebab mengapa kita makan. 1: Kerana lapar. Sebab itu kita perlu makan supaya bertenaga dan kuat untuk melakukan apa saja perkerjaan yang perlu kita buat; 2:Kerana kita perlu terus hidup kerana itu kita perlu makan. Kalau tak makan-cepatlah mati! Walau bagaimana pun ini bukan bererti kita hidup untuk makan.Tetapi kita makan untuk hidup.

Didalam hal yang berkaitan dengan makanan yang selalu menjadi persoalan ialah: Apakah yang yang boleh dimakan? Secara am, apa saja boleh dimakan asalkan ianya baik dan selamat dimakan. Ini bererti makanan yang boleh membahayakan kesihatan dan menyebabkan penyakit seperti makanan yang beracun, basi atau tamat tempoh untuk dimakan haruslah kita elakkan. Tetapi yang selalu menjadi persoalan umat Kristian ialah, "Apa yang boleh dimakan menurut Alkitab?
Menurut Alkitab terutama sekali di bahagian Perjanjian Lama memang terdapat beberapa larangan tentang binatang-binatang, ikan-ikan dan burung-burung yang tidak boleh dimakan kerana ianya dianggap haram. Sebab itu ianya tidak boleh dimakan. Misalnya unta, pelanduk, babi hutan, tikus, katak, biawak, ular, ikan-ikan yang tidak bersirip dan tidak bersisik; dan burung rajawali, burung hantu, burung unta, bangau dan sebagainya(Rujuk Kitab Imamat 11:1-47). Ini adalah mengikut Kitab Perjanjian Lama tetapi didalam Kitab Perjanjian Baru terdapat pengajaran baru mengenai makanan yang disampaikan oleh Tuhan Yesus sendiri.
Yesus berkata,"Bukan yang masuk ke dalam mulut yang menajiskan orang melainkan yang keluar dari mulut, itulah yang menajiskan orang." Dia juga berkata," Tidak tahukah kamu bahawa segala sesuatu yang masuk ke dalam perut lalu dibuang di jamban?(Lihat Matius 15:1-20; Markus 7:1-23). Jadi berdasarkan kepada pengajaran Tuhan Yesus makanan "haram" tidak timbul. Ini bererti tidak ada masalah didalam hal makanan kerana semua yang dimakan berakhir di tandas. Jadi, sebagai kesimpulan, bagi orang Kristian, dia boleh dan bebas memakan apa juga jenis makanan yang boleh dimakan asalkan makanan berkenaan tidak beracun dan tidak membahayakan kepada kesihatan badan. Ini bererti ia boleh memakan apa juga binatang, ikan, burung dan lain-lain yang boleh dimakan. Kerana tidak ada makanan yang dianggap haram menurut pengajaran Tuhan Yesus.


Tuesday, September 23, 2008

Godaan bukan sembarang godaan!

Pernahkah anda digoda? Siapa yang mengoda? seorang yang terpikat dengan anda? Ah! Ini godaan biasalah! Orang yang mengoda anda ada hati denganmu. Ini bukan jahat. Bagaimana dengan anda sendiri, pernahkah anda cuba-cuba mengoda seseorang yang anda minati? Tujuan anda baikkan? Mau dia suka padamu! Ini hanyalah godaan biasa saja. Tetapi apa yang ingin saya bicarakan ialah Godaan yang sebenarnya iaitu godaan yang datang daripada setan dan iblis!

Para setan dan iblis ini sentiasa berusaha mengoda kita dengan tujuan yang sangat jahat sekali. Mereka mengoda kita supaya kita menjauhkan Tuhan yang telah mencipta kita; Mereka tidak mahu kita mengikuti pengajaran Tuhan; Mereka mahu kita masuk ke dalam neraka bukan kedalam Surga; Mereka mahu supaya kita tidak percaya kepada Tuhan; Mereka mahu kita mengikuti kehendak mereka. Inilah maktlamat mereka apabila mengoda kita. Sebab itu, mereka ini paling suka mengoda orang-orang yang rajin berdoa dan setia kepada Tuhan. Orang-orang seperti inilah yang menjadi sasaran mereka. Jadi, kalau didalam kehidupan anda sebagai orang yang beriman kepada Tuhan sentiasa mengalami berbagai-bagai godaan yang hebat-hebat maka, janganlah hairan kerana setan memang suka mengoda orang-orang yang kuat imanya. Seperti yang dikatakan oleh St.Teresa Avila," Jangan kamu sangka bahawa para setan dan iblis itu akan tidur nyenyak apabila kiamu berusaha menjadi orang yang kudus dan setia kepada Tuhan. Mereka akan melipat-gandakan usaha mereka untuk mengoda kamu supaya kamu jatuh kedalam dosa. " Meskipun pun beginilah realiti dan kenyataan hidup orang-orang beriman tetapi jangan berganjak dan jangan mengalah kepada setan dan iblis. Teruskan perjuangan melawan godaan mereka sampai bila-bila masa.


Kewujudan setan adalah jelas dipaparkan didalam Alkitab dimana Tuhan Yesus sendiri pun secara berani digoda oleh Iblis.Ini dapat kita lihat didalam Injil Matius bab 4, dari ayat 1 sehingga ayat 11(Mat.4:1-11). Tetapi, Iblis tidak berjaya mengoda Yesus. Dia kalah lalu meninggalkan-Nya. Yesus berjaya mengatasi godaan iblis kerana Dia MELAWAN kehendak Iblis. Dia tidak terpengaruh dengan ganjaran dan upah yang bakal diberi oleh Iblis. Kerana yang penting sekali bagi Yesus ialah mengikut kehendak Allah Bapa di Surga dan bukan kehendak Iblis dan keinginanNya sendiri. Inilah yang patu kita buat apabila kita digoda oleh setan atau iblis. Lawan seperti Yesus. Jangan mudah diperdaya oleh oleh kata-kata setan yang manis atau dengan teknik-tekniknya yang menarik hati. Awas! Perangkapnya sangat merbahaya. Berjaga-jagalah. Jangan sampai masuk kedalam perangkapnya. Nanti menderita sepanjang hidup. Ingatlah, kita boleh mengatasi godaan setan dan iblis. Bagaimana?


Berikut adalah beberapa langkah-langkahnya: 1) Menyembah dan setia kepada Tuhan: Sembahlah dan setialah kepada Tuhan setiap hari. Peganglah semua pengajaranNy dengan setia. Jangan lalai nanti mudah diperdaya oleh setan dan iblis. 2) Taat berdoa: Rajin-rajinlah berdoa setiap hari dan bila ada godaan berdoalah untuk memohonlah bantuan daripada Tuhan; 3) Baca Alkitab: Rajin-rajinlah membaca dan menghayati pengajaran Tuhan yang terdapat didalam Alkitab dan lakukan didalam kehidupan setiap hari; 4) Hindarilah perkara-perkara yang kotor dan jahat. Jangan libatkan diri didalam hal-hal yang bertentangan dan dilarang oleh Tuhan and agama; 5) Elakkan pergaulan dengan orang-orang yang tidak dan kurang percaya kepada Tuhan; 6) Jangan bertolak-ansur atau komporomi didalam hal-hal yang jahat dan dosa; 7) Jauhilah tempat-tempat yang boleh menyebabkan kita berdosa.


Sesungguhnya, dengan bersandar kepada Tuhan dan berbekal dengan semangat yang kuat serta disiplin yang tinggi, kita mampu dan boleh MELAWAN godaan setan dan iblis. Jangan kita tunduk kepada godaan dan pujukan, dan rayuan mereka. Walau bagaimana manis dan cantik sekali pun, lawanlah! Jangan biarkan diri kita diperdaya dan dipengaruhi. Kuatkan semangat dan ingatlah hukuman yang menanti kita diakhir hidup kita, jika kita mengikut kehendak mereka. Dan ingatlah "ganjaran" yang lebih indah dan cantik serta lebih yang besar dan bermakna iaitu kehidupan didalam Surga dan kehidupan kekal bersama-sama dengan Tuhan sedia menanti kita seandainya, kita setia dan mengikuti kehendak Tuhan dengan rendah hati sampai akhir hidup kita didunia ini. Ingatlah, suatu hari nanti kita akan kembali kepada Tuhan yang akan mengadili perbuatan dan cara kehidupan kita semasa didunia.


Sekali pandang, memang janji dan godaan setan dan iblis lebih menarik dan menawan hati tetapi hakikatnya adalah kesusahan dan kesengsaraan hidup diakhir zaman dan kemungkian besar akan menjadi penghuni neraka. Seperti yang dikatakan oleh St. Paulus: "Upah dosa ialah maut"(Roman 6:23). Sementara itu, menjadi orang yang beriman, kudus dan setia kepada Tuhan memang sangat mencabar malah payah dan susah tetapi berbaloi. Kerana kehidupan yang lebih indah dan cantik sedia menanti kita. Jadi, marilah kita memilih yang terbaik demi kehidupan yang aman dan bahagia selama-lamanya.


Saudara dan saudari, marilah melawan apa juga jenis dan bentuk godaan setan dan iblis. Lawan habis-habisan biarpun sampai kehabisan nyawa. Yang penting tidak jatuh kedalam dosa dan tetap setia kepada Tuhan. Janganlah berkawan dengan mereka nanti binasa hidup kita. Marilah berkawan dengan Tuhan agar kita selama didunia dan diakhirat nanti. Sebab itu, marilah menjadi umatNya yang setia dan kudus dengan mencintailah Tuhan sepenuh hati kita dan sepanjang hidup kita . Dan sentiasa melawan godaan setan dan iblis. Amin.

Friday, September 19, 2008

Minuman


Perbualan dua orang bersahabat. "Kau pandai minumkah?" Dengan sedikit berjenaka kawannya menjawap,"Pandai bah...Bukan susah gia mau minum. Kau tak minum?" "Tidak. Tidak pandai."Dengan menunjukkan muka yang agak terkejut kawannya berkata," Wah! Ini macam satu keajaiban yang besar. Biasanya kalau orang tak minum lebih daripada 90 hari. Mati sudah. Tapi kau ini dah besar macam gajah pun masih hidup lagi!" ; "Iss...kau nii...saya minum air saja bah!" "Oh begitu.... jadi maksud kau ini pasal minum minuman keras seperti arak, beer, montoku dan sebagainyalah." " Yaa...lah!" Dari cerita disini, yang menjadi persoalan ialah,"Bolehkah minum minuman keras?" Secara perbadi, jawapan saya ialah "Tidak dan Boleh." Walau bagaimanpun ini mengikut keadaan, masa dan agama seseorang.



1) Tidak boleh: Sebagai contoh, misalnya didalam keadaan sakit, janganlah minum minuman keras, nanti bertambah sakit pula; Dimasa kerja, janganlah minum, nanti kerja tak siap; Atau ketika memandu kenderaan, tidak bolehlah minum, nanti dapat kemalangan; Dan dari sudut agama, Janganlah minum jika agama yang dianuti itu melarang minum minuman keras. Ikuti pengajaran agamaanda dengan setia. Kalau tak ikut buat apa menjadi anggota agama berkenaan! Kalau mahu minum juga, mungkin wajar memilih agama yang lain dimana perkara ini dibenarkan secara sederhana dan tidak dilarang sepenuhnya.



2) Boleh minum: Misalanya didalam majlis-majlis Perkahwinan atau Keramaian. Tetapi secara sederhana dan tidak keterlaluan supaya kemabukan akibat minuman keras dapat dielakan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa meminum minuman keras secara berlebihan adalah tidak baik. Kerana ini boleh mengakibatkan berbagai keburukan, penyakit dan masalah. Walau bagaimanpun, meminumnya secara sederhana memang ada kebaikannya tersendiri seperti ia boleh memanaskan badan yang sejuk dan memeriahkan susanan serta merancakkan perbualan.



Apa kata Alkitab didalam hal ini? Pengajaran yang terdapat didalam Alkitab mengenai minuman keras adalah jelas sekali dimana meminumnya secara berlebihan sehingga mabuk-mabukan adalah dilarang keras. Ini jelas seperti yang terdapat didalam Kitab Yesaya,"Celakalah mereka yang bangun pagi-pagi dan terus mencarai minuman keras, dan dudukduduk sampai malam hari, sedang badannya dihangatkan anggur"(Yesaya 5:11). Demikian juga dengan pengajaran yang terdapat didalam Kitab Efesus 5:18,"Janganlah kamu mabuk oleh anggur." Sementara itu, "pujian" mengenai minuman anggur dapat dirujuk didalam Kitab Perjanjian Lama yang berbunyi, " Air Anggur merupakan kehidupan bagi manusia, asal saja diminumnya dengan ukuran. Macam apa apa kehidupan dimiliki manusia kalau tiada ada anggur baginya? Ia dicipta untuk mengembirakan hati manusia"(Sirakh 31:27).


Didalam Perjanjian Baru, Kitab Timotius berbunyi,"Janganlah lagi minum air saja, melainkan tambahkanlah anggur sedikit berhubungan percernaan mu terganggu dan tubuhmu sering lemah"(1 Timotius 5:23). Ini jelas menunjukkan bahawa meminum minuman keras dengan jumlah yang kecil atau sederhana adalah diperbolehkan dan tidak ditegah.

Jadi, dari petikan-petikan Alkitab yang dirujuk, jelas sekali bahawa meminum minuman keras secara berlebihan sehingga mabuk adalah dilarang. Tetapi, meminumnya secara sederhana dan tidak sampai mabuk-mabukan diperbolehkan. Maka, dengan itu kalau kita mahu minum, sikit-sikit sajalah...Jangan SAMPAI KOLOGOP(MABUK) NANTI KOGUTAN!(Lemas dan sakit-sakit kepala). Walau bagaimana pun, kalau tak pandai mengawal diri didalam hal minum, lebih baik berhenti dan jangan lagi minum minuman keras. Dan akhir sekali, Tak baiklah hari-hari ada "Aramai Tii".


Jadi, kurangkanlah pengambilan minuman keras dan banyakkan meminum air biasa yang tidak berbisa! Tapi, jangan juga terlampau meminum air, nanti perut boleh jadi kembung macam perut ikan buntal! Selain daripada itu, janganlah juga terlalu meminum minuman yang manis-manis, nanti manis-manis itu kaki, kena potong pula gara-gara kena penyakit kencing manis. Dan pasal racun? Jangan sekali-kali disentuh barang ini, nanti bersentuhan itu mata dan kaki-MATI! Jestru itu, apa juga anda minum, pandai-pandailah jaga diri. Jagalah kesihatan demi kehidupan yang aman dan bahagia. Amin.