Tuesday, November 25, 2008

Oh Ibu! Oh bapa!

Perintah Tuhan yang ke-empat: "Hormatilah ibubapa mu(Keluaran 20:12)." Perintah ini mengajar kita agar mencintai ibubapa kita sendiri dengan sentiasa menghormati mereka. Kerana berkat daripada kerjasama mereka dengan Tuhan maka wujudlah kita didalam dunia ini. Ini bererti hasil pengorbanan, pemeliharaan dan kasih-sayang mereka maka kita dapat hidup didalam dunia ini. Jadi, boleh dikatakan bahawa kalau bukan kerana mereka, masakan kita ada peluang berjalan diatas bumi ini. Tetapi, hasil daripada kasih-sayang dan kerjasama mereka dengan Pencipta kehidupan maka kita ada didunia ini. Sesungguhnya, kita benar-benar bertuah kerana mempunyai ibubapa yang sanggup menjaga dan membesarkan kita sehinggalah kita dapat berdiri diatas kaki sendiri. Bayangkanlah kalau tidak ada yang orang yang rela dan sudi untuk menerima kurnia anak daripada Tuhan. Sudah pasti kita tidak ada didalam dunia ini. Tetapi, puji Tuhan dan terima kasih kepada ibubapa kita masing-masing kerana mereka kita hidup didunia ini.
Sesungguhnya, kita tidak akan dapat membalas budi dan jasa ibubapa kita yang telah menjaga dan membesarkan kita sejak dari rahim sampailah kita menjadi dewasa. Jasa mereka tidak dapat kita bayar sepenuhnya meskipun dengan berkilo-kilo emas dan berjuta-juta wang. Kerana jasa dan cinta mereka kepada kita tidak dapat dinilai dan disamakan dengan emas dan wang. Sebab itu, kita tetap terhutang budi kepada ibubapa kita sampai bila-bila masa dan sepanjang hidup kita. Walau pun begitu, marilah kita sekurang-kurangnya membalas jasa dan budi mereka dengan mencintai dan menghormati mereka sepanjang hidup kita. Ini boleh kita tunjukan dan lakukan didalam berbagai-bagai cara antaranya adalah seperti berikut: 1) Kalau kita berkerja jauh dari mereka, luangkanlah masa untuk kembali ke rumah/kampung untuk melawat mereka terutama sekali pada musim cuti, dan harijadi mereka; 2) Berilah sokongan kewangan kepada mereka. Ingatlah, mereka telah membelanjakan wang beribu-ribu demi membesarkan kita dan memberi pendidikan kepada kita; 3) Panggillah mereka dengan penuh hormat; 4) Janganlah sakiti hati mereka; 5) Jangan bersikap tidak sopan kepada mereka; 6) Kalau mereka melakukan kesilapan, tegurlah dengan baik; 7) Jangan marah-marah kepada mereka; 8) Jangan terlalu bergantung kepada mereka kalau sudah dewasa dan berkerja; 9) Jangan terlalu mengira kalau berbelanja kepada mereka; 10) Jagalah mereka dengan baik dan dengan penuh kesabaran dihari-hari tua mereka; 11) Jangan sekali-kali berlaku kasar dan jahat kepada mereka; 12) Jangan lupa berdoa untuk kebaikan mereka; dan sebagainya...
Saya fikir, banyak lagi cara dan perkara yang dapat kita lakukan bagi menunjukkan cinta dan hormat kita kepada ibubapa kita sepanjang hidup kita. Jadi, pandai-pandailah kita menunjukkan kasih-sayang kita kepada ibubapa kita masing-masing. Tetapi apa yang penting sekali ialah seseuai dengan Perintah Tuhan yang ke empat ini ialah kita diingatkan betapa besar jasa dan budi ibubpa kita kepada kita dan kita diajar supaya sentiasa mencintai dan menghormati ibubapa kita.
Mungkin banyak juga pengalaman pahit dan asam yang pernah kita alami daripada ibubapa kita seperti dirotan atau dipukul disebabkan oleh kenakalan dan kesalahan yang kita lakukan; Kecewa kerana tidak diberi wang atau diberi apa yang kita minta; Marah dan geram dengan kelemahan, kekurangan,dan kesalahan yang mereka lakukan.......TETAPI..........AMPUNKANLAH MEREKA. Saya percaya, ibubapa merotan atau memukul kita dulu bukan kerana untuk kejahatan kita tetapi untuk kebaikan kita sendiri. Mereka mahu kita menjadi manusia yang baik, berdispilin, berjaya dan berguna dimasa akan datang. Pendek kata, buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih. Janganlah kita terlalu memikirkan perkara-perkara negatif, kelemahan dan kesilapan yang pernah dilakukan oleh ibubapa kita. Tetapi, lihatlah perkara-perkara yang baik dan positif yang mereka miliki dan hal-hal yang baik dilakukan oleh mereka. Ini lebih berguna daripada terlalu memikirkan perkara-perkara "jahat dan buruk" yang boleh menyebabkan kita selaku anak mereka menjadi seperti kacang lupakan kulit atau bersikap seperti " Si Tanggang" yang lupakan jasa ibubapanya setelah berjaya didalam hidupnya.
Jadi, marilah kita sentiasa mencintai dan menghormati ibubapa kita selagi ada masa dan peluang. Nanti, esok-esok kalau mereka sudah pergi dan meninggalkan dunia ini, menangis dan menyesal pula, kerana gagal menunjukkan cinta dan hormat kepada mereka. Jestru itu, cintailah dan hormatilah ibubapa anda walaupun mereka bukanlah ibubapa yang sempurna. Kerana merekalah ibubapamu dan kerana merekalah kerjasama mereka dengan Pencipta Kehidupan, maka anda ada di dunia ini. Amin.

Thursday, November 13, 2008

Kuduskankanlah Hari Tuhan.

Didalam Alkitab dibahagian Perjanjin Lama, Hari Tuhan adalah dikaitkan dengan Hari Sabbath yang bererti "Hari Rehat" untuk pergi ke Bait Allah atau Rumah Ibadat pada hari Enam atau Sabtu. Jadi pada hari tersebut, umat Israel atau Yahudi pergi ke rumah-rumah ibadat untuk berdoa dengan mendengar Firman Tuhan yang dipetik daripada Alkitab dan mendengar Pengajaran yang biasanya disampaikan oleh guru agama mereka. Ini adalah satu kewajiban agama yang tidak boleh diabaikan. Pada hari Sabbath juga mereka tidak boleh melakukan apa-apa perkerjaan kecuali suatu pekerjaan yang ringan dan tidak bertentangan dengan Undang-undang hari Sabbath. Ketetapan ini masih lagi mereka amalkan sampai sekarang. Walau bagaimana pun, pada hari ini dikalangan umat Kristian terdapat sedikit perbezaan.

Pada amnya kebanyakan Gereja-gereja Krisitian "Hari minggu pertama atau Hari Ahad" adalah "Hari Tuhan." Pada hari berkenaan, mereka berkumpul untuk berdoa bersama-sama sebagai satu umat Tuhan. Ini adalah sesuai dengan Tradisi umat Krisitan yang pertama sebagaimana yang dinyatakan didalam Perjanjian Baru; Tambahan pula, Tuhan Yesus telah bangkit dan menjelma pada hari berkenaan iaitu pada hari Ahad(Yoh.20:1-23). Tetapi ada juga gereja-gereja yang masih mengekalkan tradisi Perjanjian Lama, dimana mereka berkumpul pada hari Enam atau Sabtu untuk berdoa bersama-sama sambil mendengar petikan dan pengajaran yang berdasarkan kepada Alkitab.


Kenapa memilih hari Sabtu atau hari Ahad? Masing-masing Gereja atau agama ada pendirian yang tersendiri dan biasanya sebab dan alasan adalah munasabah, logik dan tidak menjadi masalah untuk diterima oleh mana-mana pihak sekiranya wujud sikap keterbukaan dan sifat yang saling menghormati pengajaran agama masing-masing tanpa prejudis, tanpa sifat yang memandang rendah dan menghakimi agama orang lain, serta tanpa sikap yang ego dan angkuh.


Apa juga "Hari Tuhan" sesuai dengan agama masing-masing, persoalannya ialah apakah kita menguduskan Hari Tuhan dengan pergi sembayang pada hari berkenaan atau tidak? Jadi, pada "Hari Tuhan" kita pergi kemana? Pergi ke Gereja atau pergi makan angin? Pergi bersukan atau bekerja? Atau mengadakan aktiviti duniawi seperti mengadakan pesta dan bergotong-royong? Atau diam-diam dirumah, malas pergi sembayang!


Sesungguhnya, Perintah Tuhan yang ketiga ini, mengajar kita supaya pergi ke Gereja atau Rumah Ibadat pada "Hari Tuhan." Inilah keutamaan pada hari Tuhan. Jadi, janganlah ponteng atau malas pergi ke sembayang pada hari Tuhan. Jadi, marilah kita menghormati dan menguduskan diri kita pada "Hari Tuhan" dengan meninggalkan hal-hal duniawi dan pergi sembayang. Kalau tak dapat pergi sembayang pada hari Ahad, pergilah pada hari Sabtu(Misa senja atau Sunset Mass). Pendek kata, jangan abaikan Hari Tuhan. Kalau didalam hal-hal lain kita ada masa, takkanlah kita tidak boleh adakan masa untuk Tuhan. Jestru itu, marilah kita Kuduskanlah hari Tuhan(Kel.20:8-9). Buatlah masa untuk Tuhan. Rajin-rajinlah pergi sembayang. Amin.


Monday, November 3, 2008

Merenung Printah Tuhan yang ke dua.

Perintah Tuhan yang kedua ialah," Jangan menyebut Nama Allah, Tuhan mu tidak dengan hormat."Perintah ini mengajar kita agar memanggil dan menyebut nama Tuhan secara hormat dan baik. Perintah ini juga memberi kita peringatan agar tidak menyebut nama Tuhan secara sembarangan iaitu secara tidak hormat. Jadi, bila kita berdoa sebutkan nama Tuhan dengan penuh hormat.
Perintah ini juga juga mengingatkan kita agar tidak menggunakan nama Tuhan untuk tujuan kejahatan seperti berbohong dan menipu. Malah bersumpah untuk menegakkan kebenaran juga tidak tidak digalakkan. Seperti yang dikatakan didalam Injil Matius:" Jika YA, hendaklah kamu katakan YA. Jika TIDAK, hendaklah kamu katakan TIDAK. Apa yang lebih daripada itu berasal dari si jahat(Mat 5:37). Ini bererti kita mestilah jujur dan iklas didalam kehidupan kita. Kalau kita bersalah, akuilah kesalahan/kesilapan kita dengan rendah hati. Kalau betul katakanlah yang benar dan kalau orang lain tidak percaya dengan kejujuran dan kebenaran yang kita katakan itu masalah mereka. Yang penting kita sudah berterus terang dan bercakap benar. Kecuali kalau anda/kita berbohong.Katakanlah yang betul dan benar.Jangan berselindung dengan menggunakan nama Tuhan. Ingat, Tuhan tahu bah! Kita berbohong atau bercakap benar.
Mungkin kita berjaya membohongi orang lain dengan menggunakan nama Tuhan. Tetapi, Ingatlah bahawa Tuhan tahu dan Dia tidak dapat kita bohongi walau bagaimana licik sekali pun teknik dan cara kita. Suatu hari nanti kebenaran akan timbul; suatu hari nanti kita akan kedapatan juga jika kita berbohong.
Selain daripada itu, kita juga harus berhati-hati agar tidak menggunakan nama Tuhan ketika didalam keadaan kecewa, susah, sedih atau marah. Jadi didalam keadaaan seperti ini banyakkan kesabaran dan berdoalah kepada Tuhan dengan rendah hati.
Sesungguhnya, perintah ini mengajar kita agar menggunakan dan menyebut nama Tuhan secara hormat dan baik. Jadi, marilah gunakan dan sebutkan nama Tuhan dengan baik. Amin.